SELANGOR FC
BERITA

Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 Kini Kembali!

Apr 18, 2024 - FAS

Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 akan membuka tirai edisi kedua bermula pada 26 dan 28 April ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Tiga kelab rantau Asia Tenggara iaitu Balestier Khalsa FC dari Singapura, Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dari Brunei dan Young Elephants FC dari Laos telah dijemput bagi menjayakan edisi kejohanan pramusim kali ini.

Format perlawanan yang digunakan untuk kejohanan kali ini berbeza daripada edisi pertama, di mana setiap kemenangan akan mendapat tiga mata, manakala setiap jaringan gol (goal scored) akan dikira sebagai satu mata tambahan untuk setiap pasukan. Pasukan yang menduduki tangga teratas carta liga akan menjadi pemenang atau Juara kejohanan.

Sekiranya terdapat pasukan yang mengumpul jumlah mata yang sama, kedudukan pasukan akan ditentukan menerusi ‘Tie-Breaker’, di mana:
a) Pasukan yang mengumpul mata terbanyak selepas bermain untuk semua perlawanan akan dinobatkan sebagai Johan SAC 2024; jika pasukan mengumpul jumlah mata yang sama,
b) Pasukan yang mendapat perbezaan jaringan (goal difference) tertinggi akan dinobatkan sebagai Johan SAC 2024 atau;
c) Jikalau ada dua (2) atau lebih pasukan yang mendapat mata sama, dan perbezaan jaringan yang sama, Johan SAC 2024 akan ditentukan menerusi ‘fairplay’.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada jam 5 petang dan 9 malam pada 26 April dan 28 April 2024.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik seperti pengenalan skuad Selangor FC 2024/25, persembahan dari artis tempatan, bazar Raya, bengkel Raya dan lain-lain akan dianjurkan sepanjang kejohanan ini berlangsung khas buat para penyokong Gergasi Merah.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata Selangor Asia Challenge 2024 memainkan peranan yang sama kepada pasukan-pasukan yang bertanding terutamanya Selangor FC bagi memberi pendedahan beraksi bersama kelab dari negara ASEAN yang lain.

“Selangor FC amat teruja kerana dapat menganjurkan edisi kedua kejohanan Selangor Asia Challenge. Pihak pengurusan berusaha bagi memberikan pendedahan baru kepada pasukan untuk mereka mendapat persiapan pramusim yang baik pada musim ini. Kita telah menjemput pasukan-pasukan dari negara ASEAN iaitu Balestier Khalsa FC, Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dan Young Elephants FC, tiga pasukan yang mempunyai pencapaian yang baik pada musim lalu. Di samping itu, SAC juga akan memberi peluang kepada para penyokong untuk menyaksikan perlawanan pramusim yang kompetitif dan berkualiti.”

Seperti edisi sebelum ini, Astro Malaysia Holdings Bhd telah dilantik sekali lagi sebagai rakan penyiar rasmi kejohanan SAC 2024. 

Makluman lanjut berkenaan kejohanan Selangor Asia Challenge 2024 akan dimuat naik di setiap laman rasmi media sosial Selangor FC.

Demi Kebanggaan!